Wednesday, June 8, 2016

Ulasan sesi Reading Buddies Mei 2016: Bukan Salah Cikgu oleh Azmira Amran



Sesi perbincangan buku di QReazant, Reading Buddies, telah diadakan sekali lagi pada bulan Mei yang lepas. Buku yang diketengahkan kali ini adalah terbitan syarikat indie, Kopi Press, bertajuk 'Bukan Salah Cikgu'. Perbincangan kali ini amat menarik kerana turut disertai penulis buku yang dibincangkan, Puan Azmira Amran, menerusi Skype. Puan Azmira kini diperingkat akhir pengajian Master dalam bidang Education & Globalization di University of Oulu, Finland. Bidang pengajian Puan Azmira ini jarang diceburi secara mendalam oleh penggiat bidang pendidikan tempatan di mana bidang nya mengkaji ke peringkat asas keperluan pendidikan di dalam masyarakat global. Disebabkan minat yang mendalam, Puan Azmira sanggup meneruskan pengajiannya di Finland tanpa biasiswa untuk menyara kehidupan harian (yuran pengajian di Finland adalah percuma).

Dalam penghasilan buku ini, Puan Azmira telah menggunakan kuasa media sosial untuk membantu menyebarkan idea idea penting penulisan beliau. Akaun Facebook peribadi beliau telah diikuti oleh lebih 8,000 followers.

Sasaran pembaca buku 'Bukan Salah Cikgu' adalah lebih kepada ibubapa dan ahli masyarakat secara amnya, bukan untuk mempertahankan guru guru, tetapi untuk berkongsi informasi dalaman tentang bagaimana sistem pendidikan berfungsi agar masyarakat dapat memahami apa yang positif dan negatif. Perkongsian ilmu bersama ahli masyarakat ini penting bagi penulis kerana pendidikan bukanlah isu sesebuah industri, malah merupakan isu sosial yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk berjaya.

Pendedahan Puan Azmira tentang salah tanggapan mengenai PISA juga merupakan satu perbincangan yang membuka mata kami. Mengubah polisi pendidikan sesebuah negara hanya berdasarkan sebuah kajian tinjaun sahaja dan demi 'mendapat nama' atau 'menjaga maruah' adalah tidak munasabah. Sedihnya, inilah yang berlaku dalam pendidikan negara kita.


Walau bagaimanapun, ternyata Puan Azmira adalah seornag yang optimis dan percaya bahawa fitrah manusia itu sentiasa ke arah positif. Ini terserlah di dalam penulisan beliau yang lebih ke arah mengajak/memujuk pembaca dan bukanlah menuding jari dan bercakap buruk tentang isu pendidikan di Malaysia semata mata. Perkongsian beliau tentang sistem pendidikan Finland bukan lah untuk menunjuk nunjuk, malah membuka mata peserta Reading Buddies kami untuk cuba mengaplikasikan kaedah kaedah ini di sekolah tempatan.

Pihak QReazant mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Azmira di atas kesudian beliau untuk bersama kami. Terima kasih juga diucapkan kepada peserta Reading Buddies yang meluangkan masa untuk menyertai aktiviti kami ini.

Looking forward to your next book, Puan Azmira.
Hope to see you all on the next Reading Buddies session!